Saturday, July 25, 2009

apa kita tahu dan faham tentang JIHAD?*siri 2

Begitu juga apa yang berlaku sekarang, iaitu jihad di bidang ekonomi, ianya sangat menarik kepada setengah-setengah orang kita, yang selalu disebut; 'kita hendaklah berjihad di bidang ekonomi.'

Saya telah menerangkan bahawa jihad di dalam Islam ialah untuk meninggikan kalimah Allah s.w.t., dengan itu kalau orang itu berjihad di bidang ekonomi, walau punekonomi itu berbentuk Islam yang tidak ada riba', maka saya kata jihad itu adalah jihad jahliyyah, sebabnya ekonomi tidak menjadi matlamat orang Islam, yang menjadi matlamat orang Islam untuk menegakkan kalimah Allah. Ekonomi ialah menjadi alat, kita berjihad bukan kerana alat, tetapi kerana matlamat jihad itu sendiri. Kita tidak menafikan bahawa ekonomi adalah penting, tapiekonomi bukan matlamat. Ekonomi semata-mata menjadi alat. Oleh kerana itu kita jangan berjihad kerana alat, tetapi mari kita berjihad kerana matlamat.

Oleh kerana jihad dan perjuangan ini merupakan penentuan kepada rebah bangunnya keperibadian Islam dan ummat Islam, maka sebab itulah Allah s.w.t. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada mereka yang berjihad, sehingga ada hadith Rasulullah s.a.w. bersabda, "barangsiapa yang berjihad bersungguh-sungguh dan dia bercita-cita untuk mati dalam jihad itu, maka ia mati syahid walaupun dia tidak mati syahid, apa lagi orang yang mati syahid di dalam jihadnya."

"Dan janganlah sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki." ~ ali-'imran:169

Dan kita melihat bagaimana sahabat Rasulullah s.a.w. berdo'a: " Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah aku orang yang pertama mati syahid dalam peperangan ini."

Mereka berebut-rebut untuk mati syahid, bukannya mereka berebut-rebut untuk hidup. Sebabnya ialah kerana mereka mengetahui nilai orang yang berjihad, orang yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah. Dan bagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda: Dari Anas Radiyallahu 'anhu berkata: Nabi s.a.w. bersabda: " Tiada seorang yang telah masuk syurga ingin kembali ke dunia, meskipun bagaimana besar kekayaan di dunia, kecuali orang yang mati syahid, dia ingin kembali ke dunia untu dibunuh dalam perang fi sabilillah, hingga sepuluh kali. Kerana apa yang telah dilihatnya dari kehormatan yang diberikan kepadanya." (hadis riwayat al-bukhari dan muslim)

Oleh kerana itu pernah di dalam peperangan Islam dengan Parsi, seorang Islam telah melihat seorang tua yang terlalu uzur, sehingga matanya hampir tertutup kerana terlalu tua, tetapi ia memikul senjata bersama-sama dengan orang Islam. Lalu orang bertanya kepadanya: " Wahai orang tua, bukankah pak cik ini sudah tua, mata pun tak terang lagi, mengapa masih memikul senjata lagi?" Orang tua itu terus membuka matanya dan marah kepada orang yang berkata begitu: " Tidakkah Allah s.w.t. telah berfirman: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." ~at-taubah:41

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari 'Abbas r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
" Dua mata yang tidak akan kena api neraka. Apakah dua mata yang tidak kena api neraka? Yang pertama mata yang menangis kerana takut kerana Allah dan yang kedua mata yang berjaga malam kerana berjuang untuk menegakkan kalimah Allah." (hadis riwayat al-Tirmidzi)

Ini menunjukkan kepada kita bahawa kita berjaga malam untuk menegakkan kalimah Allah adalah mendapat sanjungan tinggi daripada Allah s.w.t., walaupun yang kita lihat sekadar berjaga begitu sahaja, tetapi oleh kerana apa yang kita lakukan itu adalah kerana Allah, maka mendapat ganjaran yang tinggi dari Allah. Dan ganjaran yang diberi oleh Allah tentang jihad ini melebihi yang lain apa yang dilakukan daripada jihad ini.

Sehingga Allah s.w.t. mengganda orang yang memberi sumbangan kerana menegakkan kalimah Allah dengan tujuh ratus kali ganda. FirmanNya: " Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas(rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi 'ilmu pengetahuanNya." (al-baqarah:261)

Ayat ini menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai orang yang berjihad dalam menyumbangkan harta-bendanya kerana Allah.

Oleh kerana itulah Allah s.w.t. amat murka, apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. leka dengan harta-benda, walaupun harta-benda itu tidak dinafikan sebagai satu sumber kekuatan. Ketika itu Rasulullah s.a.w. membahagikan tanah-tanah yang luas, apabila orang Islam leka dengan bumi yang luas, maka mereka berkebun, sehingga mereka mengabaikan tugas jihad, maka Allah menurunkan ayat, 195, surah al-Baqarah: " Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan berskap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki 'amalannya."

Allah s.w.t. menganggap,orang yang leka dengan harta-bendanya, yang melupakan tugas jihad adalah orang yang mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan. Oleh kerana jihad itu amat pentinglah, maka Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. di dalam ucapan dasar baginda, sebaik sahaja baginda dilantik menjadi khalifah Islam yang pertama, yang antara lain baginda mengatakan: " Sesungguhnya kaum yang meninggalkan tugas jihad itu akan menimpa kehinaan dan kerosakan."

Dengan ini teranglah kepada kita bahawa kejatuhan ummat Islam dan kelemahan ummat Islam itu ialah apabila ummat Islam itu sendiri leka dengan tugas jihad, bukan kelemahan yang ada dalam Islam. Islam kuat, Islam tetap tinggi.

Tetapi ummat Islam yang tidak menunaikan amanah untuk memelihara Islam dan menegakkan Islam dan menjalankan tugas-tugas jihad. Oleh kerana jihad ini penting, maka Allah s.w.t. memberi ancaman yang hebat kepada ummat Islam yang tidak menjalankan tugas jihad.Firman Allah s.w.t.: "Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah- membela agamaNya) , Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."~at-taubah:39

Setengah 'ulama' mengatakan, yang dimaksudkan dengan kaum lain, ialah kaum lain yang akan menjalankan tugas jihad. Kalau kamu orang Melayu tidak mahu berjihad, kamu menjadi Kristian, maka Allah s.w.t. akan melahirkan golongan lain yang akan menegakkan Islam.

Sejarah telah berlaku di Sepanyol, apabila orang-orang Islam di Sepanyol tidak menjalankan tugas jihad, negeri Sepanyol telah tumbang. Orang-orang 'Arab di Sepanyol telah tumbang dan jatuh. Sejarah telah menunjukkan kepada kita, bagaimana kerajaan 'Abbasiyyah di Baghdad telah jatuh, dan tumbang oleh Monggol. Dan Allah s.w.t. telah melahirkan golongan-golongan Islam daripada orang Monggol yang memperjuangkan Islam.

Demikianlah juga sekarang tidak mustahil, kalaulah orang Islam di negara kita ini tidak mahu menjalankan tugas jihad, Allah boleh melahirkan golongan yang mahukan Islam di negeri-negeri barat. Dan tidak mustahil negeri-negeri timur akan jatuh ke tangan kuasa-kuasa yang bukan Islam.

Oleh kerana itu, apa yang berlaku dan akan berlaku, akan membawa malapetaka dan akibat yang hebat kepada kita.

Kalau kita masih bertukar dan tidak faham, yang mana Melayu, yang mana Islam, tidak faham yang mana kebangsaan dan yang mana Islam, maka tidak mustahil kita akan terjebak dengan kehancuran dan keruntuhan seperti yang diberi amaran oleh Allah s.w.t..

Allah s.w.t. telah memberi janji kemenangan kepada orang yang berjihad. Mengapa kita diberi sedangkan kita kalah? Kemungkinan orang tertanya-tanya, Allah s.w.t. pasti memberi kemenangan walaupun kita kalah dari segi fizikalnya, tetapi kita menang dari segi rohaninya. Cuba kita lihat, misalnya kita kalah dalam pilihanraya dalam mengahadapi jahiliyyah di tanah air kita ini. Kita tahu bahawa kita memperjuangkan Islam, dan mereka memperjuangkan jahiliyyah, tetapi kita kalah dalam pilihanraya. Kita hendaklah menyedari bahawa kita tidak kalah, walaupun kita kalah dalam pilihanraya tetapi kita menang dari segi hatinya.

Kesedaran kita lebih meningkat, kemungkinan kalau kita menang tidak dengan 'aqidah yang kuat, kemenangan itu akan membawa kehilagan 'aqidah dan keruntuhan kepada kita. Oleh kerana itu kita menyedari bahawa kemenangan tidak diberi oleh Allah s.w.t. secara lahiriyyah yang dapat dilihat dengan mata kita. Allah s.w.t. akan memberi kemenangan secara roh kepada kita. Sehingga kita dapat melayakkan diri kita untuk menegakkan Islam, barulah Allah akan memberi kemenangan kepada kita.

Sekiranya Allah memberi kemenangan sekarang, menurut apa yang kita mahu dan menurut apa yang kita kehendaki percayalah bahawa kemenangan itu akan hancur dan kita akan menjadi jahat dengan kemenangan kita, kita tidak akan menjadi baik, kerana kita tidak cukup syarat-syarat kemenangan itu. Kita hendaklah menyedari bahawa kemenangan Islam ini bukannya kemenangan bikinan kita, tetapi kemenangan itu adalah yang diberi oleh Allah s.w.t..

Kita hendaklah menyedari bahawa kita orang Islam tidak menang dengan duit banyak, kita tidak menang dengan jumlah kita ramai, kita tidak menang dengan senjata kita banyak, tetapi kita menang dengan pertolongan Allah. Apabila kita dapat memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki oleh Allah. Memang tidak dapat dinafikan harta-benda itu perlu, tidak dapat dinafikan pengikut yang ramai itu perlu, tetapi syarat kemenangan itu lebih penting dan lebih perlu daripada itu.

Oleh kerana itu Sayyidina 'Umar al-Khattab r.a. berpesan kepada Sa'ad bin Abi Waqqas ketika Sa'ad menuju ke Parsi memimpin tentera Islam. Sayyidina 'Umar berkata: " Wahai Sa'ad, saya berpesan kepadamu dan tentera-tentera Islam supaya bertaqwa kepada Allah, sesungguhnya kemenangan yang dicapai oleh kamu ialah dengan sebab maksiat yang dilakukan oleh musuh. Sekiranya kamu melakukan maksiat sama seperti musuh, yang menjadi ukuran ialah kekuatan kebendaan."

Apabila kekuatan kebendaan menjadi ukuran, maka musuhlah yang mencapai kemenangan. Kerana jumlah mereka lebih banyak daripada kita, kerana senjata mereka lebih banyak daripada kita. Kita percayalah kalau Allah s.w.t. memberi kemenangan juga kepada kita, sedangkan kemenangan itu dengan asas Islam yang tidak kuat, kita akan jadi jahat sebagaimana yang saya kata tadi.

Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada 313 orang yang berperang Badar itu, ialah kerana orang ang berperang dalam perang Badar itu memenuhi syarat-syarat kemenangan yang dikehendaki oleh Allah s.w.t..

Mereka itu telah diberi kemenangan oleh Allah s.w.t. apabila mereka meletakkan Islam lebih tinggi daripada harta, meletakkan Islam tinggi daripada keluarga, meletakkan Islam lebih tinggi daripada pangkat, sehingga tidak ada nawaitu langsung selain daripada Islam di dalam jiwa mereka, barulah Allah memberi kemenangan kepada mereka. Dan oleh kerana itulah, iaitu kerana Islam itu lebih tinggi daripada segalanya, mereka bersedia untuk menghukum saudara mara mereka sendiri.

Apa kata, kalaulah Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada kita dengan jiwa kita yang ada sekarang? Kemungkinan kita akan menjadi jahat, kita sanggup menghukum orang lain, tapi kita tidak sanggup menghukum anak beranak kita sendiri, maka kita akan menjadi zalim. Kalau Allah s.w.t. memberi kemenangan kepada kita, oleh kerana itulah syarat-syarat kemenangan itu hendaklah disedari leh kita.

Ada juga orang mengatakan, bahawa kemenangan Islam itu berdasarkan kepada jihad dan hukm-hukumnya hendaklah dibahagi kepada dua perkara:
1. Apa yang menjadi matlamat perjuangan kita itu hendaklah menyeluruh.
2. Kita hendaklah berdiri di atas kaki kita sendiri.

Dalam masalah yang pertama, iaitu Islam yang menyeluruh. Kalaulah perjuangan kita tidak di atas nama Islam yang menyeluruh, Allah s.w.t. tidak akan memberi kemenangan kepada kita. Kita hendaklah menyedari bahawa, perjuangan kita ini bukan perjuangan di bidang politik sahaja, bukan perjuangan untuk pilihanraya sahaja, sebab itulah Allah s.w.t. tidak memberi kemenangan kepada kita sekarang, kerana yang terfikir dalam kepala kita sekarang hanyalah pilihanraya sahaja. Kita tidak fikir Islam yang menyeluruh, seperti mana yang diamanahkan oleh Allah s.w.t., kita hendaklah menyedari bagaimana kejayaan Islam di Iran.

Kejayaan ummat Islam di Iran kerana mereka sudah berhati-hati, sebabnya musuh Islam itu terlalu bijak, apabila mereka merasakan Islam itu kuat, apabila mereka menyedari bahawa arus kebangkitan Islam ini kuat, mereka akan menunjukkan kepada kita bahawa mereka mahu kepada Islam.

Kalaulah pemerintah yang ada sekarang ini, dia mengemukakan kepada kita bahawa mereka mahukan undang-undang Islam, orang mencuri dipotong tangan, orag berzina direjam, arak diharamkan? Mungkin kita akan menerima. Dan kita akan baik pula dengan mereka? Yang penting di sini adakah matlamat kita undang-undang itu sahaja? Kalau matlamat kita undang-undang itu sahaja, maka kita akan terjerat dengan tunduknya kita kepada mereka dengan suatu isu yang terlalu kecil iaitu yang tidak merangkumi Islam yang menyeluruh. Sebab mereka akan menggunakan taktik. Apakah kita yang ada sekarang ini mahu Islam yang menyeluruh? Apabila mereka menggunakan suatu isu Islam yang sempit, maka kita akan mendiamkan diri dan kemungkinan ada di antara kita yang menerima, kerana kita tidak memahami Islam yang menyeluruh.

Apa yang berlaku di Iran? Misalnya diambang kemenangan ummat Islam di Iran, Shah Iran menawarkan kepada Khomeini dan ummat Islam untuk mengharamkan arak, untuk mengaharamkan judi, untuk mengadakan pilihanraya, tetapi dia tidak menyedari bahawa sistem pemerintahan yang ada di Iran itu adalah sistem yang tidak Islam. Bermakna Shah tidak mahu Islam yang menyeluruh dan ummat Islam di Iran telah menolak tawaran itu.

~the end~

p/s: mostly petikan dari hasil tulisan HJ. 'ABDUL HADI AWANG dalam buku yang berjudul ISLAM: FIKRAH, HARAKAH & DAULAH...

1 comment:

Huda Idris said...

masya Allah...nice kupasan.

khair